Rabu, 22 Ogos 2012

AMRAFAHAN di Harian Metro lagi!! Edisi Raya pula!

Alhamdullillah kisah AMRAFAHAN keluar di Harian Metro lagi! Kali ini kisah pasal raya pula! Meh baca kat sini! Terima kasih Harian Metro!

Harian Metro 22 Ogos 2012


Melayan kembar tiga



SELAIN perasaan bahagia dan ceria memiliki anak kembar, menyediakan keperluan raya tentunya memberi cabaran kepada ibu bapa terutama bagi pasangan suami isteri yang memiliki anak kembar tiga.

Bagi Noorhany Ishak, 33, dan Huszaini Haron, 33, yang memiliki kembar tiga perempuan seiras, seperti tahun sebelumnya, mereka mula membuat persiapan menjelang pertengahan Ramadan. Ini bagi memastikan semua keperluan dapat disediakan mengikut waktunya.


“Biasanya untuk suami dan anak sulung (Aqil Muhammad Rayyan) menempah baju Melayu kerana lebih mudah mendapatkan rona yang sama manakala untuk anak kembar saya lebih suka membeli menerusi talian kerana menjimatkan masa,” kata Noorhany.

Namun cabarannya apabila terpaksa menyediakan pakaian yang sama untuk anak-anak kembarnya, Auni Faqihah, Auni Haziqah dan Auni Naqibah.

“Memang agak sukar mendapatkan ukuran dan warna yang sama untuk tiga pasang baju kerana biasanya kedai hanya menyediakan stok setakat satu atau dua pasang, begitu juga untuk yang dijual menerusi dalam talian.

“Jadi saya dan suami terpaksa mencari di beberapa kedai berbeza untuk mendapatkan rona dan corak yang sama, begitu juga dengan kasut raya,” ujarnya.

Jika sebelum ini, anak-anak kembarnya masih belum pandai memilih baju kesukaan mereka, namun kali ini agak berbeza kerana masing-masing sudah bijak mencari baju idaman.

“Bayangkan ketiga-tiga mereka mempunyai pilihan berbeza. Biasanya kembar kedua Auni Haziqah lebih suka berbeza daripada kakak dan adiknya. Jadi kami biarkan Auni Haziqah memilih dulu kemudian baru ditunjukkan kepada kembar yang lain.

“Kakak biasanya ada sedikit protes jika tidak berkenan, tapi selepas dipujuk biasanya dia akan menerima pilihan itu. Adik pula suka mengalah, biasanya akan menerima saja apa yang diberi atau pilihan kakaknya. Cuma ada masanya dia memilih juga,” katanya.

Walaupun terpaksa menyediakan bajet yang banyak, pasangan ini bersyukur kerana rezeki memiliki anak kembar sememangnya melimpah-ruah terutama apabila tiba hari raya. Ini kerana ketika berkunjung ke rumah saudara-mara sudah semestinya mereka bertiga menjadi perhatian ramai. Suasana menjadi lebih meriah dan riuh-rendah disebabkan keletah yang pelbagai terutama apabila melihat mereka menerima duit raya. Selain itu ramai juga yang ingin bergambar bersama kembar.

Walaupun agak memenatkan kerana terpaksa memantau pergerakan mereka ketika beraya serta membawa keperluan yang banyak, semua itu tidak menjadi masalah kerana Noorhany sudah menyediakan keperluan mereka lebih awal bagi mengelak tercicir pada saat-saat akhir.

Misalnya pada tahun ini, oleh kerana pulang berhari raya di kampung Noorhany di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan perjalanan yang panjang, dia sudah membuat persediaan awal dengan segala keperluan termasuk makanan dan pakaian.

“Biasanya kami membawa pakaian lebih, lampin pakai buang, susu, tisu basah dan bantal. Jika duduk lama, pakaian mudah kotor terutama sekiranya anak kembar menyuap sendiri makanan. Kadang-kadang mereka buang air serentak, jadi perlu dibersihkan.

“Untuk mengelak mereka meragam pada waktu petang, kami pastikan si kembar mendapat tidur yang cukup dan biasanya ini dilakukan ketika di dalam kereta,” ujar Huszaini.

Kembar yang dilahirkan pada 13 November 2009 ini mempunyai perangai berbeza. Sekarang, si kembar lebih suka melakukan semua perkara sendiri contohnya memakai baju dan seluar, menyikat rambut malah makan dan minum sendiri.

“Si kakak lebih suka makan dan kelihatan cantik. Dia juga suka mengemas dan membebel sekiranya abang atau adik-beradik lain membuat sepah atau meletakkan sesuatu di tempat yang tidak betul. Angah pula suka berhias dan mahu kelihatan lebih menarik daripada yang lain, tetapi apabila bergaduh dia paling suka menjerit.

“Si adik pula tidak kisah pasal berhias, asalkan sama dengan kakaknya yang kelihatan cantik. Walaupun mereka sering bergaduh berebutkan mainan, ketiga-tiga kembar ini sangat garang dan saling melindungi antara satu sama lain,” ujar Noorhany.

Tambahnya, untuk umur mereka yang akan mencecah tiga tahun pada November ini, mereka masih belum memahami bahawa mereka adalah pasangan kembar. Cuma mereka mengetahui panggilan nama masing-masing.

“Di taska, kembar pertama di panggil kakak, kembar kedua di panggil angah dan kembar ketiga dipanggil adik. Apabila kami suami isteri tersilap memanggil nama masing-masing, mereka sendiri akan membetulkannya dengan memberitahu nama panggilan mereka.

“Contoh, “Ini angahlah abah”, “Ini adiklah abah” sambil tangan menunjukkan pada diri masing-masing,” ujarnya.

Bagi Noorhany dan Huszaini, walaupun mereka tidak betah duduk melayan anak-anak kembar, melihat perkembangan mereka setiap hari memberikan kegembiraan dan keceriaan berganda apatah lagi masing-masing memiliki perangai berbeza. Mereka bersyukur dengan anugerah Allah ini dan akan mendidik mereka sebaik mungkin menjadi insan sempurna di dunia dan akhirat.

Sumber Harian Metro Online

Cerita geng kembar Elly dan Emmy dan Puan Izan pun boleh baca kat sini!!

9 ulasan:

Sky0ne berkata...

makin femes member aku sorang ni

nadiya berkata...

Saya yg baca pun dah fenin.. huhu.. tahniah..!!

nadiya berkata...

Saya yg baca pun dah fenin.. huhu.. tahniah..!!

the triplets berkata...

emm, ada jugak terbaca dalam harian metro semalam... famous you...

princessrayha berkata...

dah beli metro raya pasal kembar3...

Huszaini Haron berkata...

@Sky0ne ala bro.. rezeki anak2! tak laa femes pun huhuhu

Huszaini Haron berkata...

@nadiya haaa pening kenapa?

Huszaini Haron berkata...

@the triplets hehehe anak2 yang femes.. mak bapak tompang aja!

Huszaini Haron berkata...

@princessrayha terima kasih! heheehe

exabytes unlimited